Kamis, 14 April 2011

TEORI STRUKTURALISME

Teori Strukturalisme merupakan sebuah teori yang besar yang mempengaruhi hampir sebahagian besar bidang ilmu.Teori Strukturalisme tumbuh dan terkenal di Perancis menerusi Claude Lévi-Strauss, seorang ahli antropologi yang mengaplikasikan Strukturalisme Linguistik Saussure dalam kajiannya terhadap fenomena mitos, perhubungan kekeluargaan dan peraturan permakanan (K.M. Newton,1997: 83). Bagi Levi-Strauss apa yang penting dalam mitos bukanlah hubungan diokranik, tetapi hubungan sinkriniknya (Mana Sikana,2005:20). Aspek penceritaan dan pensejarahan mitos tidak penting, tetapi yang lebih pentingnya ialah susur galur hubungan yang membentuk mitos itulah yang lebih dipentingkan.
Teori Strukturalisme berkembang luas dalam dekad 1960-an sebagai suatu usaha untuk menerapkan kaedah dan wawasan Ferdinand de Saussure, pengasas linguistik moden kepada kesusasteraan (Terrry Eagleton,1983:106) dan merupakan satu teori yang sangat berpengaruh bagi menggantikan pandangan positivisme atau kaedah analisis yang berasaskan empirikal (K.M.Newton,1997: 83). Saussure merupakan seorang ahli falsafah Swiss (1857-1913), percaya bahawa bahasa mempunyai struktur dalamannya yang tersendiri dan mempunyai peraturan-peraturan yang sistematik (Bressler Charles E, 1999:89). Peraturan-peraturan ini menguasai dan menggerakkan semua aspek bagi bahasa termasuk bunyi-bunyi yang dikenalpasti sangat bermakna, berbagai kombinasi bunyi yang membentuk perkataan dan bagaimana perkataan dikendalikan untuk menghasilkan hubungan yang bermakna dalam bahasa yang disediakan.
Secara umumnya, teori Strukturalisme merupakan suatu percubaan untuk menerapkan teori linguistik kepada objek-objek dan kegiatan-kegiatan lain, selain bahasa itu sendiri. Saussure membezakan antara langue dan parole. Langue ialah aspek sosial bahasa, manakala parole ialah realiti pengguna bahasa sebenar. Pemisahan dua istilah ini menjadi asas penting kepada semua teori Strukturalisme yang terkemudian (Raman Selden & Peter Widdowson,1997: 67, Bressler Charles.E.2000: 92).
Berdasarkan pada pernyataan ini, maka teori Strukturalisme dapat difahami sebagai teori yang menitikberatkan perkara-perkara dalaman (content) yang membentuk rangka atau struktur sesebuah teks. Struktur sesebuah teks termasuklah tema, plot, perwatakan, bahasa, latar dan sudut pandangan (Mana Sikana,1983: 82-83). Struktur ini adalah yang sangat biasa bagi genre novel, cerpen dan drama. Bagi genre puisi terdapat unsur-unsur lain seperti rima, bentuk, nada dan rangkap.
Teori Strukturalisme tidak memberi perhatian pada pengarang atau apa-apa juga aspek lain di luar teks. Makna teks sepenuhnya terletak pada keseluruhan sistem dan struktur teks itu sendiri. Oleh kerana itu, pembaca tidak terpengaruh dengan aspek-aspek kontekstual dalam mencari dan merumuskan makna dalam teks, termasuk pengarang teks itu sendiri.
Pengarang tidak penting dan tidak dipenting dalam Strukturalisme. Pengarang bukan pusat yang menerbitkan makna teks. Kerana itu juga, Strukturalisme dikatakan mendokong konsep `kematian pengarang` (the death of the author), sebagaimana yang diutarakan oleh Roland Barthes. Dengan konsep kematian pengarang, bermakna tumpuan Strukturalisme hanya kepada aspek-aspek bentuk dan struktur dalaman yang salin berhubungan dan berkaitan di antara satu sama lain. Hubungan dan perkaitan aspek-aspek struktur inilah yang menentukan makna, keindahan dan keistimewaan teks.
Setiap satu aspek dengan satu aspek lain yang membentuk struktur dalam teks berfungsi dengan beberapa kaedah, iaitu perkaitan, transformasi, regulasi, hubungan secara keseluruhan, desentralisasi perkara, pertentangan duaan dan makna lazimnya terbentuk secara abritrari (wewenang).
Satu aspek struktur tidak dapat menerbitkan makna tanpa perkaitan dengan aspek-aspek lain dalam keseluruhan struktur teks tersebut. Contohnya, tema kemiskinan dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad tidak dapat menampakkan kemiskinan secara autonomi, melainkan perlu dikaitkan dengan aspek lain seperti latar masyarakat, latar masa, perwatakan, pemilihan gaya bahasa, teknik dan kaitannya dengan aspek-aspek lain dalam struktur itu.
Berbeza dengan teori Formalisme yang memberi tumpuan hanya kepada satu-satu aspek sahaja, tanpa perlu dikaitkan dengan aspek-aspek bentuk yang lain yang terdapat dalam keseluruhan struktur teks.
Kerana itu, dalam memperincikan perbahasan untuk mencari makna teks, maka ia perlu kepada proses memperkaitkan satu aspek dengan aspek lain, melihat transformasi isi yang menerbitkan isi atau makna yang lain secara sinkronik dalam satu keseluruhan hubungan. Inilah yang menjadi prinsip Strukturalisme dalam memahami makna teks kesusasteraan.